
Nota Hati Seorang Lelaki
Reviu buku yang disiarkan di dalam Majalah Risalah - PERGAS.
Membaca ‘Nota Hati Seorang Lelaki’ seperti membaca sebuah diari kehidupan, persepsi dan nilai hidup dari seorang penulis yang tidak asing di Malaysia, Ustaz Pahrol Mohd. Juoi. Ia merupakan tulisan pengalaman ‘biasa-biasa’ tetapi menilai makna dari perspektif yang ‘luarbiasa’ dalam sudut pengajaran dan hikmah. (yang mungkin terlepas pandang oleh kita)
Buku ini terbahagi kepada empat bahagian iaitu: Nota Hati Seorang Anak, Nota Hati Seorang Suami, Nota Hati Seorang Ayah dan Nota Hati Seorang Da’i.
Prinsip penulisannya amat mudah iaitu, tulislah sesuatu yang memang kita yakini, alami dan rasakan. Penulis mengajak kita berguru dengan pengalaman hidup sendiri kerana menurutnya sesetengah ilmu perlu ‘dirasai’ baru boleh difahami, dihayati seterusnya diamalkan dalam kehidupan. Ia menekankan konsep merendah diri dalam menuntut ilmu seperti sebuah takungan. Makin rendah takungan itu, semakin banyak ilmu yang bakal dimiliki dan diwarisinya. Dengan rasa rendah diri maka kita akan bersedia untuk belajar dari segala peristiwa di sekeliling kita.
Saya amat tertarik dengan Nota 2 bertajuk ‘Kisah Benar yang Jarang-Jarang Didengar’, dimana penulis menceritakan pengalaman seorang rakannya; seorang penulis yang berjaya, yang ketika itu ekonomi keluarganya masih kurang mantap dan kehidupannya terlalu sukar.
Menurutnya, setiap kali penulis tersebut pulang ke kampung menziarahi ibu dan ayah, ayah beliau akan memintanya duit. Beliau seringkali menjadi serba salah dan memberitahu ibunya bahawa dia bukan tidak mahu berikan kepada ayahnya cuma kadangkala duit yang ada cukup-cukup untuk duit tambang.
Tetapi ibu penulis dengan selamba menjawab, “Bagilah apa yang ada”. Walaupun hanya 5 ringgit dan kadangkala hanya 2 ringgit, beliau akan berikan juga kepada ayah kerana tidak mahu hampakan harapan ayah dan ikutkan cadangan ibunya. Ayahnya selalu tersenyum menerima pemberian beliau. Yang mengejutkan ialah apabila beliau sekeluarga berada di perut bas dalam perjalanan pulang, beliau menyedari terselit di kocek anaknya wang 10 ringgit. Jika dikira-kira beliau yang beruntung kerana walaupun memberi hanya 5 atau 2 ringgit tetapi mendapat imbalan yang lebih.
Namun, keadaan itu akan tetap berulang. Ayahnya tetap akan memintanya duit setiap kali pulang ke kampung dan setiapkali itulah ayahnya akan memasukkan duit yang lebih dari jumlah yang diberikan ke dalam kocek anaknya. Ia berterusan walaupun ekonomi penulis tersebut sudah mantap dan menjadi ahli korporat. Fahamlah beliau sekarang bahawa ayahnya memberi bukan kerana kekurangan atau kelebihan beliau, tetapi dia memberi kerana Allah. Mencontohi Allah al-Wahhab.
Penulis merumuskan itu sebagai rahsia ‘perniagaan’ yang jarang- jarang diperkatakan. Jika masih ada ibu bapa memberilah kepada mereka. Jika tidak ada, memberilah kepada anak-anak. Jika tidak ada juga, memberilah kepada sesiapa sahaja. Kita mesti sentiasa berfikir untuk memberi. Memberi kepada orang lain bererti memberi kepada diri sendiri walaupun itu bukan maksud kita ketika mula memberi.
Nota Hati Seorang Lelaki disusun dari Nota 1 hingga Nota 56, di antara nota yang tidak kurang hebatnya seperti Nota 3 ‘Seni Menjaga Hati Ibu’ mengenai kepentingan lebih banyak mendengar dari berkata-kata, Nota 4 ‘Ketupat Emak’ mengenai memberi lebih menggembirakan daripada menerima, Nota 9 ‘Apabila Bisikan Jadi Jeritan’ mengenai komunikasi tahap tinggi iaitu kemampuan mendengar sesuatu yang tidak diperdengarkan, Nota 22 ‘Berdepan dengan Bakal Isteri dan Ibu’ mengenai panduan mendidik anak perempuan, Nota 35 ‘Kau Murabbi Bukan Selebriti’ mengenai kekuatan ilmu melebihi kekuatan peribadi dan banyak lagi.
Buku yang disusun dengan cerita-cerita biasa ini adalah suara hati kita sendiri yang penulis ungkapkan bagi pihak kita. Yakni suara “hati kecil” kita yang lebih murni, tulus dan insaf, tetapi sering ditenggelamkan oleh “hati besar” kita yang ego, bangga dan alpa. Penulis berharap agar buku ini menggerakkan diri kita “membaca” kisah-kisah kita, orang lain dan segala yang berlaku di sekeliling kita. Dan tulislah sekeping nota hati yang khusus tentang itu dalam sanubari yang paling tulus dan suci. Dengar cercaan “musuh”, ambil teguran sahabat dan bergaul dengan masayarakat- itu antara pesan Imam Ghazali untuk mengetahui aib diri sendiri.
Nota seorang lelaki mengingatkan kita sudah tiba masanya kita menjadi guru kepada diri sendiri!
~Zuwainah Mohd Kamalutheen




No comments:
Post a Comment