6.7.10

ESQ Training - Satu perkongsian pengalaman peribadi.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Moga apa yang akan saya tulis membawa sedikit pencerahan dan kefahaman akan kesalahfahaman mengenai ESQ Training.

Pada mulanya, saya hanya ingin membiarkan 'fatwa ESQ' itu bermaharajalela. Biarkan sahaja orang-orang atasan yang menjawab dan mencerahkan keadaan. Saya bukan siapa-siapa. Saya bukan komiti. Bukan juga koordinator. Saya bukan seorang yang begitu aktif. Bahkan, pada tahun ini hanya sekali sahaja saya datang untuk renungan. Kehadiran saya boleh dikira dengan jari tangan. Mungkin hanya 5, 6 kali semenjak saya menjadi alumni pada tahun 2008. Saya bak iklan biskut " sekejap ada, sekejap tak ada". Ikut suka bila nak datang. Ikut suka bila nak *recharge.

Namun, hati ini tidak tenang. Rasa terpanggil untuk berkongsi sedikit pemerhatian & pengalaman peribadi kepada semua yang sudi membaca tulisan ini. Saya rasa seperti bertanggungjawab untuk memberikan sedikit sharing. Sharing is caring...bukan?

Saya mula mengenali ESQ secara tidak sengaja pada tahun 2006 melalui blog. Saya tidak ingat siapa penulis blog tersebut. Tapi, apa yang pasti bermula dari detik itu saya begitu tertarik dengan ESQ. Dari satu blog ke satu blog yang lain, saya membaca pengalaman para peserta alumni ESQ dan saya begitu teruja untuk mengetahuinya dengan lebih mendalam.

Walaupun ia sesuatu yang baru dan ketika itu belum ada ESQ Training di Singapura, saya benar-benar ingin tahu. Rasa ingin tahu itu membuatkan saya terus mencari gali dari jentera yahoo & google. Apa yang saya fahami ketika itu adalah ESQ Training ialah sebuah training mengenai Human Resource yag bersumber dari Ihsan, Iman & Islam. Penerapan Ihsan, Iman & Islam dari pendekatan yang berbeza.

Selepas menunggu selama 2 tahun. Alhamdulillah saya berkesempatan untuk mengikuti training pada Bulan Februari 2008. Jujur saya katakan, ketika saya menjejakkan kaki ke dewan training, siap dengan buku nota dan pen, di dalam fikiran saya hanyalah " saya sedang mengikuti bengkel atau training biasa mengenai aqidah, iman & islam cuma mungkin banyak game atau slides yang kreatif di mana itu menjadikan training ini istimewa seperti apa yang ditulis oleh penulis-penulis blog tersebut"

Namun, rupanya ia cukup istimewa sehingga tidak perlu untuk kita mengambil nota dan mencatat informasi. Training ESQ menyediakan materi yang merangkumi IQ, EQ & SQ. Ia mengambil pendekatan menjelaskan informasi untuk digarap IQ, kemudian ia menyentuh EQ dan berusaha mengetuk SQ. Pendekatan dari dalam ke luar atau inside-out. Ia bermatlamat agar kefahaman tentang tujuan hidup atau purpose of life sebagai pengabdian hanya kepada Allah difahami dan diterima hati, inside-out.

Di antara pengajaran yang saya dapati dari training 3 hari tersebut ialah:

i) Semua agama cintakan kedamaian. Tiada satu agama pun di dunia ini yang tidak inginkan kedamaian. Dan damai itu apa? Damai itu adalah ISLAM. Islam agama damai yang mengajak semua manusia kembali kepada fitrah iaitu kembali kepada keinginan untuk damai menurut ajaran Islam. Secara tidak langsung rupanya setiap agama itu cintakan Islam & seharusnya Islamlah menjadi cara hidup kita semua.

ii) Para Nabi dan Rasul Allah 'Alaihimussalam dilantik sebagai nabi dan rasul oleh Allah swt sebagai pembawa peringatan kepada umat masing-masing. Setiap seorang nabi dan rasul mempunyai sejarah tersendiri bagaimana bertambahnya keyakinan mereka terhadap Allah melalui sebuah pengalaman, samada sebelum atau selepas dilantik. Nabi Musa 'alaihissalam dengan pengalaman baginda untuk melihat Allah di atas sebuah gunung. Nabi Muhammad s.a.w dengan pengalaman berkhalwat di dalam Gua Hira'- mencari fitrah yang telah hilang dari kaum arab jahiliyah ketika itu. Pengalaman & pencarian itu mengukuhkan keyakinan para nabi dan rasul 'alaihimussalam. Mereka bukan sahaja MENGETAHUI bahawa Allah itu Maha Agung bahkan mereka MERASAI keagungan Allah lewat pengalaman yang dilalui. Mereka bukan sahaja MENGETAHUI bahawa Allah Maha Mendengar bahkan mereka MERASAI bahawa Allah benar-benar mendengar keluhan & luahan hati manusia. Dari situlah terlahirnya " Unshakeable Mentality" dimana Allah memantapkan keimanan & keyakinan para nabi dan rasul pilihan 'alaihimussalam sehingga mereka tidak takutkan sesuatu selain Allah. Keyakinan 100% mutlak, keikhlasan yang 100% hanya kerana Allah, hanya untuk Allah.

iii) Kami diperkenalkan dengan SQ (Spiritual Quotient) yang bererti kecerdikan/kecerdasan spiritual. Kecerdasan manusia terbahagi kepada 3: Intelektual (IQ), Emosional (EQ) & Kerohanian/Spiritual (SQ). Untuk menjadi manusia yang cemerlang di dunia dan akhirat, seseorang memerlukan ketiga-tiga kecerdasan ini. Contoh & idola kita adalah junjungan Nabi Muhammad saw. Baginda s.a.w menggabungkan ketiga-tiga kecerdasan ini. Banyak contoh-contoh yang boleh kita teladani: Baginda s.a.w seorang yang bermisi dalam kehidupan, cerdik & bijak membaca keadaan, menyusun strategi & ahli dalam berbagai kemahiran yang diperlukan untuk dakwah pada zaman baginda s.a.w (IQ). Baginda s.a.w juga adalah seorang yang empati, bercakap mengikut tahap kefahaman pendengar, pemaaf, bertutur dengan lemah lembut, ikhlas membuat kebaikan walaupun mendapat hinaan dan sebagainya (EQ). Baginda s.a.w sebagai kekasih Allah meletakkan Allah sebagai matlamat hidup baginda s.a.w. Ihsan merupakan keutamaan baginda s.a.w dalam setiap tindakan yang diambil (SQ).

Untuk mendapatkan SQ, kita perlu memahami IHSAN. Di mana kita beribadah kerana Allah, seolah-olah kita melihat Allah & jika kita tidak melihat Allah, rasakan bahawa Allah melihat kita. Dengan itu insyaAllah setiap perbuatan kita akan selaras dengan syariat yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Untuk mendapatkan EQ, kita perlu memahami rukun IMAN. Bukan setakat menghafal tetapi benar-benar menjiwai 6 keimanan wajib bagi setiap yang bergelar muslim, di antaranya:
1. Dengan beriman akan kewujudan dan keagungan Allah membantu kita membangun kejujuran dalam diri kerana kita mengetahui bahawa Allah melihat setiap apa yang kita buat, apa yang kita lafazkan dan apa yang terdetik di dalam hati. Ia juga membantu membangun sikap merendah diri kepada sesama manusia kerana yang Maha Agung & Maha Sempurna hanyalah Allah. Dengan keimanan tersebut, kita akui bahawa sebaik mana pun kita, kita tidak lari dari ketidaksempurnaan.

2. Dengan beriman akan adanya para malaikat, akan membangun sikap ikhlas & terus memberi tanpa mengharap balasan kerana percaya bahawa malaikat tidak pernah leka/lalai menulis segala kebajikan yang kita lakukan.

Dan seterusnya, dengan benar-benar beriman dengan rukun iman yang enam akan membangunkan sebegitu banyak nilai-nilai murni yang disyariatkan oleh agama kita; Islam.

Untuk mendapatkan IQ pula kita harus memahami dan menjiwai rukun ISLAM. Dalam hidup, kita perlukan matlamat. Untuk menyusun strategi, kita perlukan misi. Misi kita ada dalam rukun Islam yang pertama iaitu " Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah & Nabi Muhammad itu pesuruh Allah" . Kita merupakan hamba Allah yang dijadikan Allah sebagai Khalifah di muka bumi ini. Misi hidup kita adalah pengabdian kepada Allah swt. Dengan itu juga, kita memahami misi dalam kehidupan dan memahami bahawa misi akhir kehidupan adalah bertemu Allah di syurga nanti. Dengan itu, kita belajar untuk membaca keadaan, menyusun strategi kehidupan mengikut kerangka yang ditetapkan oleh Allah swt. Kita akan melakukan sesuatu mengikut segala yang dianjurkan oleh Allah dan yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.

Kenapa ketiga-tiga kecerdasan ini harus digabungkan?

...kerana...

SQ tanpa EQ & IQ = melahirkan manusia yang rajin beribadah, bersolat dan sebagainya tetapi pemarah, bercakap kasar serta tidak berstrategi.

EQ tanpa SQ & IQ = melahirkan manusia yang people oriented tapi tidak mentaati Allah serta tidak mempunyai misi dalam kehidupan.

IQ tanpa SQ & EQ = melahirkan manusia yang bijak pandai, bijak merancang tetapi segalanya dilakukan untuk kepentingan peribadi,bukan kerana Allah & Rasul s.a.w dan tidak pandai berbudi sesama manusia.

SQ & EQ tanpa IQ = melahirkan manusia yang rajin beribadah, pandai mengambil hati orang lain, berbudi bahasa tetapi tidak berstrategi dalam dakwah dan tiada misi dalam hidup.

SQ & IQ tanpa EQ = melahirkan manusia yang rajin beribadah, bijak merancang, faham misi kehidupan tetapi kurang ajar & sombong.

EQ & IQ tanpa SQ = melahirkan manusia yang penyantun, bijak mengatur kehidupan tetapi tidak dilakukan kerana Allah.

SQ, EQ & IQ bila digabungkan = insyaAllah dengan usaha untuk benar-benar memahami dan mempratikkan Ihsan, Iman & Islam dalam kehidupan itu maka dengan izin Allah akan terlahirlah manusia yang cemerlang dunia dan akhirat.

Kami juga diperkenalkan dengan istilah 'God Spot' di mana ia bermakna rasa diri bertuhan secara fitrah sebagai seorang manusia. Ini bermakna setiap manusia secara fitrahnya akan mencari tuhan yang menciptakannya. Sedar atau tidak, setiap manusia itu mencari Allah dalam kehidupan mereka. Namun saya akur, penggunaan istilah ini boleh mengundang kekeliruan seperti pendapat Ustaz Zaharudin di http://www.zaharuddin.net/content/view/828/89/

iv) 'Suara Hati' merupakan inner voice di mana ia mendorong manusia melakukan kebaikan, dimana ia merupakan nilai universal. Universal Values dimana setiap manusia itu sukakan sesuatu yang harmoni, damai dan sejahtera. Namun penentuan 'suara hati' haruslah berlandaskan apa yang disyariatkan Islam. Penting juga untuk kita menilai yang mana itu 'suara hati' dan yang mana itu emosi. Emosi itu terbahagi 2, positif & negatif. 'Suara Hati' dalam pendefinisiannya yang tepat akan mendatangkan emosi yang positif. Emosi yang negatif hanya akan terlahir dari individu yang ditutupi hatinya dengan belenggu, seperti dendam, prinsip hidup dan sebagainya.

Contoh suara hati: Menyayangi, jujur, bertanggungjawab, murah hati
Contoh emosi: Bahagia, sayang, gembira, dengki.

Yang mana asal,yang mana akibat?

Suara hati itu asal, dan emosi itu akibat.

Bila kita menyayangi, akan terbit rasa bahagia.
Bila seseorang itu jujur , akan menimbulkan pada diri orang lain rasa sayang terhadap dirinya.
Bila punya ketua yang bertanggungjawab, setiap kakitangan akan gembira.

Si fulan itu seorang yang murah hati , namun dia tetap didengki orang.

Walau bagaimanapun, ia perlu didefinisikan dengan lebih terperinci agar tidak disalaherti. Seperti istilah 'adil, apakah maksud adil memberi kuantiti yang sama atau ia bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya? Begitu juga dengan murah hati, adakah dengan menyedekahkan seluruh harta yang ada sehingga terabai makan minum anak isteri itu dikira murah hati?

Namun, amat mustahil untuk mensyarahkan semua 'suara hati' dengan terperinci dalam masa training yang amat terhad. Apa yang boleh dilakukan adalah menggalakkan setiap peserta terus belajar dan memahami makna setiap 'suara hati' dalam pendefinisian syariat yang sebenar di luar training.(belajar agama di masjid/persatuan agama)

Apapun, bagi sesiapa yang menyamakan ESQ Training dengan kumpulan Faaiz albaqarah, saya memohon kepada Allah agar dengan sifat penyayangNya, Allah mengampuni dosa kita semua. Sungguh, jauh sekali untuk disamakan 'suara hati' dengan 'ilham' yang dimaksudkan oleh Faaiz albaqarah. 'Suara Hati' yang sebenar itu hanyalah yang berlandaskan al-Quran & as-Sunnah. Seperti suara hati untuk menolong orang yang memerlukan, untuk menziarahi ibu di kampung, untuk melaksanakan amanah dan sebagainya.

v) Setiap perkongsian materi, ia disertakan dengan dalil naqli. Pertemuan sains seperti'big bang, pergerakan bumi, awan yang bergerak, semuanya disertakan dalil al-Quran mengenainya yang mana sudah diturunkan lebih 1400 tahun yang dahulu. Ini adalah untuk membuktikan bahawa al-Quran itu adalah benar-benar kalam Allah dan bukan rekaan Rasulullah s.a.w. Setiap apa yang tertulis di dalam al-Quran itu tepat.

Pertanyaan inside out, mengapa kita mudah percaya dengan scientific finding dan tidak mahu percaya dengan apa yang dibicarakan oleh al-Quran? Sedangkan apa yang didapatkan oleh pertemuan sains sudah dijelaskan dalam a-Quran lebih 1400 yang lalu. Namun, afalaa tatafakkaruun? (Tidakkah kamu berfikir?)

vi) Mukjizat al-Quran tidak boleh disanggahkan lagi kehebatannya. Ia merupakan bicara cinta Allah kepada setiap hamba ciptaanNya. Para trainer sering mengingatkan para peserta agar membaca al-Quran dan mengkaji isi & maknanya. Mereka juga turut berpesan agar tangisan keinsafan ketika di dalam dewan training tidak berakhir hanya di sini," lanjutkanlah ia pada solat tahajudmu di malam hari, rayulah Allah, Tuhanmu Yang Maha Pengasih agar diampuni segala dosa-dosamu dan mohonlah ditetapkan hidayah dalam hatimu".

vii) Sepanjang mengikuti ESQ Training sebanyak 5 atau 6 kali, tidak pernah saya dikenalkan dengan kod 19 atau sebarang kod selain 165 iaitu ringkasan Ihsan (1), Iman (6) & Islam (5).

vii) Para trainer memberi contoh betapa amalan Bushido oleh orang Jepun telah mentransformasikan mereka kepada satu cara hidup yang berteraskan rukun-rukun Bushido yang mereka yakini. Ini membuktikan, perkataan boleh memberi kesan kepada kelakuan. Seperti contoh, ketika kita sedang putus asa, kita bangkit kembali dengan berkata kepada diri, "aku boleh, aku juara, aku boleh atasi semua ini, semuanya akan kembali seperti sediakala!" dan sebagainya. Kata-kata yang positif boleh memberi impak yang positif.

Namun, mengapa kita sebagai seorang muslim, yang mengerjakan 17 rakaat dalam sehari, tidak mendapat kesan positif dari solat tersebut? 17 rakaat bermakna 17 al-Fatihah. Dalam al-Fatihah kita menyebut Allah itu Maha Penyayang, Maha Pengasih, tetapi mengapa kita tidak berusaha menyayangi? Kenapa kita menyebar benci? Kita membaca "Allahu Akbar" iaitu Allah Maha Besar, tetapi kenapa kita masih merasa sombong dengan diri kita, kenapa tidak merendah diri? Solat menuntut kita jujur dalam melaksanakan rakaat solat, tetapi mengapa ada yang solat tetapi TIDAK jujur dalam kehidupan; dalam pekerjaan?

Di sini, para trainer mengingatkan kita bahawa solat itu AMAT penting dalam pembentukan karakter seseorang individu. Jika ada habit atau kebiasaan negatif dalam diri, maka selidikilah solat kamu! Slot ini bagi saya merupakan antara slot yang menginsafkan selain slot big bang.

ix) Zero mind process atau bermaksud berserah secara mutlak & tawakal kepada Allah. Ustaz Zaharudin telah menjelaskan di dalam blognya. Boleh rujuk balik ke link blog.

x) Syahadah triple one? Sepanjang training, tidak pernah pula saya diajar tentang triple one atau yang berkaitan dengannya.


Sampai di sini sahaja. Moga Allah melindungi kita semua dari fitnah akhir zaman. Sesungguhnya yang baik itu semuanya datang dari Allah, yang tidak baik itu datang dari ketidaksempurnaan kita sebagai manusia.


WaLlahu 'alam bissawab.


Salam Hormat,
Zuwainah Mohd Kamalutheen
Alumni ESQ
Angkatan 2, Singapura.

No comments: