30.12.08

Pelangi tanpa warna

Pelangi tanpa warna.


Pelik. Pelangi itu tanpa warna. Ada sesuatu yang tidak kena tetapi mengapa mereka semua berkelakuan seperti tiada apa-apa yang aneh berlaku? Aku terkesima, kemana perginya sang warna?

Berlarian di tepi pantai berpasiran lembut, bahagia terlukis di hati. Langit mendung merenjis warna samar yang payah dikesani. Gerimis tiba-tiba merintik halus menyentuh pipi. Hangat matahari seakan malu-malu menambah seri. Ombak menderu perlahan menghempas diri; sengaja menyendiri.

Seorang kanak-kanak merenung sayu. Berbicara dengan sang bayu yang hanya menghembus lalu. Tergambar di wajahnya berbagai persoalan yang perlu jawapan. Harus ditanya pada siapa? Tiada yang membantu. Atau mungkin ada, cuma dia yang malu atau tidak tahu?

Pelangi itu masih belum berwarna.

Dia sedar dia bukan anak mereka yang berjawatan tinggi. Bukan juga anak hartawan atau peniaga berjaya di dalam negeri. Apatah lagi tergolong dalam golongan anak-anak bijak pandai dan cendekiawan yang menyumbang kepada ekonomi negara. Ibarat melukut di tepi gantang, dia hanya mengharap setitis ihsan. Hanya setitis.

Dia hanya seorang insan yang punya hati dan perasaan. Seorang yang menjadi mangsa keadaan. Punya ayah yang tidak harus dipanggil ayah. Bahkan sehingga kini dia tidak punya kesempatan mengenali siapakah ayahnya yang sebenar. Dia punya ibu yang selalu sakit-sakitan. Kata ibu, ini semua balasan dari masa lalunya. Dia kurang faham dan yang sebetulnya tidak faham. Apa sebenarnya yang berlaku dan yang penting sekali, patutkah dia menerima tempiasan balasan itu jika benar ia sebuah balasan?

Apa pun dia punya hati yang amat pengasih. Kasih pada adik-adiknya utuh tanpa berbelah bahagi. Setiap celik matanya, hanya satu doanya agar ada secebis bahagia yang mampu dihadiahkan buat mereka. Buat ibu jua walau apa pun balasan yang ibu sering ucapkan yang terpaksa didepani bersama.

Ibu kata dia sudah insaf dan redha dengan semuanya. Ibu memintanya agar pasrah. Ibu mengajarnya dan adik-adiknya agar yakin akan kasih sayang Pencipta semua manusia. Ibu mengajarnya agar kuat semangat dan jangan putus asa. Ibu mengajarnya agar menyembah satu-satunya Pentadbir alam yang fana. Dia akur.

Pelangi itu masih belum berwarna.

Merenung awan jauh di kaki langit. Menyulam impian, mengait angan-angan. Tiada yang mampu dibezakan antara keduanya. Impian atau angan-angan. Kedua-duanya sama walau tidak serupa kerana apa yang mampu diusahakan dalam usia yang belum mampu menjejak kaki ke sekolah rendah lagi. Untuk membaca juga tidak tahu, apatah lagi menulis. Dia hanya memasang angan-angan. Itulah kata mereka di sekelilingnya dan kepercayaannya juga.

Hatinya bagi dihimpit batu besar. Sesak. Setiap kali melihat kanak-kanak sebayanya berlarian mesra bersama ayah dan ibunya. Perutnya bagai dihenyak setiap kali terlihat hidangan perkelahan yang mengiurkan bagi dirinya yang tidak punya apa. Walau yang terhidang hanya sepinggan mi hoon goreng kosong tanpa isi ayam, daging atau makanan laut. Ia tetap menyelerakan.

Jiwanya pedih bila setiap kali kakinya melangkah merapati untuk meminjam sedikit kebahagiaan, mereka menjauhinya. Senyum sinis dan rasa kurang senang jelas terpapar di raut muka. Ya ,mungkin mereka takut anak mereka akan mengidap penyakit jika dekat dengannya; anak gelandangan. Atau mereka takut dia merompak wang dan barang berharga yang mereka miliki untuk membeli sebungkus makanan.

Jiwanya merintih. Mengapa bakhilnya menjadi manusia yang hakikatnya tidak punya apa. Semua yang manusia miliki adalah pemberian Dia Yang Maha Kaya. Yang tanpa lokek membahagikan kekayaan miliknya kepada hamba-hambaNya. Apa salahnya menghulurkan seringgit dua buat dia menyambung hidupnya? Juga untuk dihadiahkan secebis kebahagiaan buat ibu dan adik-adiknya. Agar dia merasai juga kebahagiaan membahagiakan insan lain. Satu nikmat yang amat membahagiakan melewati kebahagiaan peribadi namun sayangnya ramai yang ego dan sombong enggan menikmatinya. Sanggup menyembunyikan kebahagiaan untuk diri mereka sendiri sahaja. Mengapa?

Mengapa gersangnya jiwa manusia yang sejatinya tidak memiliki kebahagiaan tanpa rahmat dan kasih daripadaNya. Semua kebahagiaan adalah anugerah Yang Maha mencipta kasih, yang mencipta bahagia tanpa meminta bayaran walau sesen jua. Tetapi mengapa manusia tidak mahu berbahagi dan menjadikan kebahagiaan itu seolah-olah milik peribadi mereka yang abadi?

Pelangi itu masih belum berwarna.

Dia melangkah lagi dan kali ini jiwa semakin sebak nan melemaskan. Di sana, ya di sana manusia-manusia itu bersuka ria tanpa sedikit pun peduli untuk memaling muka menguntum senyuman yang mendamaikan. Tanpa rasa bersalah mereka membazirkan makanan, makan dan minum sepuasnya sehingga lesu kekenyangan. Sedangkan dia juga lesu bukan dek kekenyangan bahkan dalam kelaparan yang teramat sangat. Tidakkah terbit di hati mereka walau secebis rasa bersalah atau paling tidak sedikit belas kasihan?

Milik siapakah makanan dan minuman itu? Adakah mereka berhak menikmatinya semahu mereka tanpa sedikit pun meninggalkan untuknya walau sedikit cuma? Lupakah mereka bahawa semua kebahagiaan dan kekayaan yang mereka miliki adalah untuk berbahagi?
Tidakkah mereka tahu bahawa Allah akan selalu bersedia membantu seorang hamba selama dia juga bersedia membantu saudaranya yang lain? Tidakkah mereka pernah dengar bahawa Rasul Sollahu ‘alaihi wassalam bersabda: “ Sayangilah siapa yang di bumi, maka niscaya engkau akan disayangi penghuni langit”. Sayang dalam erti yang sebenarnya tanpa mengira darjat dan asal keturunan. Sayang dalam erti menyebarkan rahmat anugerah Pencipta rahmat untuk sekalian alam. Lupakah mereka atau sememangnya mereka tidak tahu?

Pelangi itu masih belum berwarna.

Diheret kakinya melangkah lagi. Dipaksa dirinya berlari dalam kehampaan mencari setitis ihsan. Setitis ihsan bersadur sekuntum senyuman yang mendamaikan. Angin berlalu membawa lagu sendu, menghembus lalu setitis ihsan dari jiwa yang sememangnya sudah gersang . Warna samar semakin mudah dikesani. Sinar matahari semakin pudar, menghilang seri dan ombak terus menghempas pergi.

Sayang, seharusnya hidup ini indah seperti indahnya sang pelangi. Tapi seribu kali sayang, hanya sebuah pelangi tanpa warna yang tidak bererti.