Salaam buat semua...
Lama benar tidak kutarikan penaku di sini. Kenapa? Mungkin terlalu sibuk atau mungkin sudah jemu untuk berfikir dan menulis. Cuma, sebenarnya aku tidak harus berhenti menulis. Aku harus terus membaca dan menulis seperti mana gesaan di dalam Al-Quran selepas Surah Al-Alaq, turun pula Surah Al-Qalam. Selepas disuruh membaca, disuruh pula kita menulis. Membaca dengan hati dan menulis juga dengan hati moga tingkah laku kita juga terhasil dari hati yang jernih,murni dan mendamaikan dunia. Amin!
Sepanjang sebulan yang lalu, aku mengalami transformasi. Dari merasa diri terlalu kerdil di hadapan manusia sekarang aku yakin pada diriku sendiri. Aku tidak harus takut. Aku harus bervisi besar kerana Allah itu Maha Besar. Jangan takut, sedih atau marah dengan ujian dan cubaan yang datang. Memang itu menyakitkan, amat menyakitkan kadangkala tapi itulah prosesnya untuk kita menjadi sebutir berlian yang bersinar. Berlian yang tidak boleh dicalarkan, berlian yang kuat skuktur kejadiannya, berlian yang cantik lagi memukau.
Aku sekarang punya visi dan misi yang jelas. Dan aku tahu nilai apa yang mendukung untuk aku sampai kepada visi tersebut. Aku juga tahu dan yakin bahawa keyakinan yang jitu kepada Allah itulah kunci kepada kejayaan kita mencapai misi kita sebagai seorang hamba Allah di muka bumi ini. Aku juga diajar untuk ikhlas dalam erti kata yang sebenar. Kunci ikhlas dan mencapai damai di hati ialah PEMAAF.
Aku bukanlah seorang yang ikhlas menerima segala yang ditakdirkan ke atasku jika aku tidak PEMAAF. Aduh, rupanya ramai di antara kita yang tidak ikhlas atau kurang ikhlas termasuk diriku. Sering mengeluh dan menyalahi orang lain. Astaghfirullah! Bagaimana mungkin kita dapat syurga Allah jika kita tidak mampu ikhlas dengan ketentuanNya?! Aduh! Ampuni aku Ya Allah!
Jadi, mulai hari ini aku harus menjadi seorang yang pemaaf, apapun situasinya agar aku dapat keyakinan dan mencapai misi dan visiku. Apapun, aku harus berkorban. Perjuangan menuntut sebuah pengorbanan. Aku harus sabar dan ikhlas.Harus!
Dalam proses transformasi ini aku amat bahagia. Hanya pada Allah aku lafazkan kesyukuran. Biarlah apa yang manusia fikirkan, apa pun yang mereka katakan...aku tidak gentar kerana Allah itu Maha Besar. Aku idamkan syurga Allah dan kedamaian kerana itu, aku harus mencipta kedamaian di hatiku dengan memaafkan segala kesalahan dan kekurangan manusia sekeliling.
Moga Allah tetapkan hidayahNya dan kedamaianNya dari sifatNya As-Salam dalam hatiku dan hati saudara-saudaraku yang dikasihi semuanya. Amin!




No comments:
Post a Comment