23.5.08

Ya Nabi Salam Alaik

Mendengar lagu nyanyian Haddad Alwi, menyentuh hati sanubariku...

Aku rindu...

Aku pernah menghafal sesuatu dari umi satu ketika dulu...aku kurang menghayatinya tapi tidak kini...

"Ya Rasulullah

keranaMu kebaktian kucurah

kerana degupan jantungMu adalah nafasku

kehadiranMu mengubah hidupku

kasihMu menyinari jalanku..."

Kami merinduiMu Ya Rasul!





Kini, Setiap hari aku akan bisikkan di dalam hati

Aku sayang diriku ...

dan aku sayang semua manusia kerana mereka semua disayangi Rasulullah s.a.w

Rasulullah s.a.w menyayangi kita semua , umat Baginda s.a.w

Baginda amat mengambil berat akan kebajikan kita semua

Baginda amat memaafkan kerana Baginda inginkan yang terbaik untuk kita semua

Baginda jugalah yang akan memberi syafaat di akhirat sana

Baginda sanggup dihina dan dipanggil gila ...semata-mata untuk menyampaikan agama yang benar kepada kita semua

Baginda sanggup berkorban darah dan airmata untuk mengangkat darjat para wanita

Baginda sanggup bersusah dan berlapar demi agama Islam tercinta, demi kemaslahatan umat manusia...

Ya Rasulullah, syafaatkan kami di akhirat sana

Kami sayang padaMu Ya Rasulullah

Kami rindu padaMu Ya Rasulullah



Akan kucuba membuang semua rasa benci dan irihati demi keranaMu Ya Rasulullah

Akan kuajar diriku ikhlas memaafkan segala kesalahan saudara seislamku dan sesama manusia umumnya

Akan kucuba dan kuistiqamahkan...Moga Allah memberiku kekuatan, Amin!



(Mulakan setiap harimu dengan sedikit kebaikan, walau mungkin hanya sekecil cuma tetap ada pahalanya...moga rahmat Allah meliputi kita semua dengan niat ikhlas dan usaha kecil kita, Amin!)

5.5.08

Aku ikhlas menjadi umatMu



~Cerita yang dihantar ke Majalah Risalah PERGAS

“Ya sayang, moga kasih kita sesama kita persis seperti matahari yang tidak pernah merajuk walau sehari. Ya, memang seperti mustahil tapi, kuatkanlah hatimu sayang, rajukmu jangan dibiar lama”






Kuhempas punggungku ke sofa. "Ah, penat!", desis hatiku. Telefon bimbitku kubelek dan kucari fail-fail gambar yang tersimpan. Membuang masa mencari sesuatu yang tak pasti. Bengkak di hati masih belum sembuh lagi. Makin dikenang makin membara. Geramnya!

"Eh, anak mama dah balik?", tegur mama dari pintu dapur. "Mm, baru je sampai", jawabku acuh tak acuh. Telefon bimbitku masih di tangan, sibuk menekan butang-butang telefon dan membuka, menutup fail-fail yang tersimpan. Masih membuang masa memujuk hati sendiri.

"Kenapa ni?", tanya mama prihatin. "Mama, kenapalah bila kita niat ikhlas nak menolong, orang bukannya hargai malah salah tafsir niat baik kita, dah tu buat cerita macam-macam pulak", adu aku meminta simpati. "Dahlah lepas ni malas nak tolong orang lagi, dahlah miskin ilmu, miskin harta, suka fikir negatif pulak, macam mana nak maju! Lebih baik kita 'mind our own business' lagi bagus", tambahku semakin celaru. Mama hanya tersenyum.

"Sayang, apapun yang kita lakukan kita harus ikhlas bukan? Tapi itu bukan bererti kita tidak boleh mengadu dan minta diberi simpati. Cuma, anak mama ingat tak peristiwa ketika Nabi Muhammad s.a.w ingin menyampaikan dakwah di Taif?", tanya mama sambil meneguk segelas air ais limau yang lama terhidang di depan kami.

"Lihat sayang, betapa Baginda telah dilempar batu dan dihina dengan kata-kata nista sedangkan Baginda tercinta membawa mesej Rahmatan Lil'Alamin kepada semua manusia agar kita semua hidup bahagia di dunia dan akhirat. Tapi, adakah Baginda dihargai dan dihormati ketika itu? Dan adakah Baginda berhenti dari menyampaikan mesej tersebut?", tanya mama lagi sambil meletakkan semula gelas di atas meja. Senyuman mama mekar, mengubat sedikit lara di hatiku ini.

"Mmm...tak, Nabi tak pernah berhenti berdakwah dan Nabi sangat sabar", jawabku penuh yakin yang sebenarnya tidak ada dalam hatiku.

"Begitu juga kita seharusnya sayang, sabar dan ikhlas menerima segala kepayahan dan kesusahan, ikhlas dalam ertikata yang sebenar menyerahkan segalanya kepada Allah. Apa yang penting, kita lakukan yang terbaik. Memang banyak cabaran dan rintangan yang menghalang perjalanan kita sayang, sedangkan Baginda Rasul s.a.w juga menghadapi tantangan, apatah lagi kita. Tapi, tak sepatutnya kan untuk kita berhenti dan mengaku kalah", tambah mama lagi. Aku diam. Tanganku mengambil gelas di depanku. Kering tekakku basah disirami air ais limau buatan mama; sedap!

"Tapi...", aku ingin membantah. Cepat mama memintas. "Tak ada tapinya sayang, jika kita susuri sirah Rasul s.a.w, penderitaan Baginda dan kasih sayang Baginda terhadap umat pasti kita akan rasa terharu. Betapa Nabi Muhammad s.a.w itu merupakan Rasul yang agung, yang ikhlas menempuhi segala kesusahan dan hinaan semata-mata untuk membawa kita semua kepada jalan yang diredhai Allah, hidup yang penuh bahagia. Betapa Rasul s.a.w itu sangat sayangkan kita semua sayang", mama berhenti seketika. Airmatanya diseka. Aku turut terharu. Tapi aku tahan. Memaksa diriku bertahan.

"Jika dulu Rasulullah s.a.w mengizinkan Malaikat Jibril menghempas gunung ke atas penduduk Taif, jika dulu Nabi s.a.w mendoakan bala dan azab ke atas manusia yang ingkar, apakah nasib kita hari ini? Adakah kita sekarang dalam nikmat iman dan islam?", tambah mama lagi. Matanya semakin membengkak.

"Sabarlah sayang, mungkin hari ini orang yang kita bantu tidak menghargai dan tidak memahami tapi mungkin esok lusa ataupun mungkin generasi selepasnya akan menghargainya. Kita harus ikhlas sayang, harus ikhlas menghadapi segala kesusahan, harus ikhlas menjadi umat Nabi Muhammad s.a.w, harus ikhlas menjadi penjunjung warisanNya. Ya sayang, moga kasih kita sesama kita persis seperti matahari yang tidak pernah merajuk walau sehari. Ya, memang seperti mustahil tapi, kuatkanlah hatimu sayang, rajukmu jangan dibiar lama", mama akhiri dengan bicara yang tersekat-sekat. Deraian airmata mengalir, deras di pipi. Tangannya digenggam menahan tangis yang semakin hebat. Aku hanya merenung mama. Terpaku.

Dalam getar bicara mama menambah lagi, “ Tugas kita hanya menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah Allah dan menjunjung tinggi sunnah Rasulullah s.a.w. Bukan tugas kita untuk memberi hidayah kepada manusia. Biarlah kalau manusia menghina, ambillah pengajaran mungkin itu cerminan peribadi kita. Mungkin juga sebagai kaffarah atas segala dosa dan noda. Bermuhasabahlah selalu,bersabar dan bermaafanlah. Nabi dulu bukan sahaja dihina malah dipanggil gila tapi Rasul kita tercinta itu tetap menyebarkan kasih sayang terhadap umatNya. Pantaskah kita membenci sesame kita sedangkan Rasul s.a.w begitu bersusah payah mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajirin. Begitu susah payah Baginda mendirikan batu asas ukhuwah demi kemaslahatan semua manusia. Cinta dan kasih Rasul itu begitu mendalam terhadap umatNya sehingga Baginda sentiasa berfikiran positif dalam usaha dakwah Baginda dan menyerahkan segala hasilnya kepada Allah s.w.t. Memang sayang, kadang kita kecewa bila usaha kita diperkecilkan malah dihina tapi sabarlah, sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang kita lakukan. Pasti ada yang Allah sudah aturkan untuk kita semua. Cuma, kita harus sentiasa bermuhasabah, bermaafan dan bersabar”.

Aku masih ingin terus bertahan. Sayangnya, aku tidak mampu. Yang sebenarnya memang benar aku terharu. Aku malu kerana mengaku sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w tetapi tidak ikhlas menanggung kesusahan dalam menjunjung sunnahNya. Aku ego mungkin, atau terlalu tinggi pengharapan sehingga kecewa bila natijahnya tidak seperti yang diharapkan dan mungkin juga aku terlalu sensitif. Ya Allah, ampunkanlah aku!

Aliran kasih Rasulku terasa seperti menyelinap masuk dalam setiap urat darahku. Berdegup bersama degupan jantungku. Memasuki ruang pernafasanku dan akhirnya berdenyut dalam setiap denyutan nadiku, seiring linangan airmata keinsafanku yang mengalir. Menangisi segala kekhilafan. Saat itu hatiku bermunajat, "Ya Allah selawat dan salam keatas RasulMu tercinta. RasulMu yang membawa cahaya CintaMU. RasulMu yang membawa rahmat kepada sekalian alam. Aku ikhlas Ya Allah, ikhlas menjadi umat As-Sodiq Al-Amin; umat Nabi Muhammad s.a.w. Kurniakanlah kepadaku kekuatan agar aku benar-benar kuat untuk terus memberi dan mampu menerima segalanya dengan ikhlas. Ya Allah, kabulkanlah. Amin!"






~'illiyyin nursuci