LAMBAIAN ITU MENGGAMIT RINDUKU
Oleh
Oleh
Zuwainah Mohamed Kamalutheen
AKU tatap sekali lagi ke arah itu, ia hanya membisu. Ingin kusapa tapi tak mungkin ada jawapan daripadanya. Aku merenung lagi, ke setiap sudutnya. Sudah kesekian kali. Hatiku syahdu.
Air mataku mengalir tanpa dapat dibendung. Tabir rinduku dirobek linangan yang amat mengharap. Aku harap reda. Aku mengharap kasih-Nya.Mataku berlegar-legar mencari sudut untuk kutunaikan solat sunat tawaf. Alhamdulillah, di sebelah seorang nenek tua bertongkat tiga, kulihat ada ruang sempit yang aku kira muat untukku.
Sempat kupandang sekilas ke arahnya, nampaknya dia sedang khusyuk berdoa. Aku lantas melafazkan niat dan kuangkat takbir. Solatku yang pertama di makam Ibrahim, air mataku mengalir. Kaabah yang agung itu benar-benar di hadapanku. Hatiku rebah merintih. 'Ya Rahmah-Ya Sitti, as-salam', sapa nenek tua itu sejurus kuhabiskan salam kedua.
Aku mengukirkan senyuman di bibirku. Dia tersenyum juga. Aku melihat dia terkocoh-kocoh ingin bangun. Di tangan kanan, digenggam erat tongkatnya. Tangan kirinya pula ditekan ke bahu kananku. Aku cuba membantu tapi entah apa malangnya, dia terjatuh. Kakinya dihentak tongkat kayu.
Aduh! Nenek tua itu mengerang. Aku melihat keningnya berkerut. Sakit sangat nampaknya. Sambil kakinya diurut, dia berselawat. Aku hanya mampu menenangkan. Aku menjadi gelabah melihat air matanya mengalir. Bibirnya terus bergetar melafaz selawat syifa.
Aku panik. Aku cuba membantu mengurut kakinya. Dia tersenyum. 'Syukran Ya habibti, Allah yubarik fik!' Aku aminkan sungguh-sungguh doanya meminta Allah memberkatiku. Perlahan-lahan nenek itu tenggelam dalam lautan manusia yang sedang asyik dalam ibadah. Dia menggagahi dirinya untuk bangun dan berjalan sendiri. Katanya dia tidak mahu menyusahkan sesiapa. Aku bersimpati tetapi nenek itu tetap berkeras.
Usai saja kuhantar nenek itu lewat pandanganku, aku kembali bertafakur. Aku angkat tanganku, aku mengatur bicaraku. Aku susun harapanku untuk kupersembahkan kepada yang Maha Mengabulkan doa. Mataku mencerlung, memintas cahaya matahari, doa dipohon semoga umat muslimin terus diberkati. Tunduk aku mengadap kiblatku, sungguh-sungguh kujaga adab di depan rumah Tuhanku. Sungguh, aku rasa benar-benar hina. Aku bukan siapa-siapa. Aku tiada apa-apa. Aku hanya hamba Allah yang dipinjamkan segenap kurnia.
Anugerah-Nya amat mahal dan tidak ternilai serta banyak pula yang tidak terkira. Begitu pun masih hati ini mahu berbangga. Kebaikan yang ditabur terasa sungguh diri mulia. Kesalahan manusia amat sukar untuk kulupa. Keaiban sesama insan menjadi cerita jenaka.
'Oh! Sungguh malang nasibku jika Kau tidak mengampuniku,' rintih hati kecilku.Aku merayu lagi. Minta diampuni, minta dikasihi. Aku yakin sekali Allah Maha Pemberi. Pasti Dia tidak menghampakan. Aku merayu lagi. Minta dimaafi, minta ditunjuki. Aku yakin sekali Allah Maha Pengasih. Pasti Dia tidak akan meninggalkanku sendiri.
Aku merayu lagi. Minta ditenangkan, minta di rahmati. Aku yakin sekali Allah Maha Pemurah. Pasti kasih sayang-Nya mencurah-curah. Cuma, aku yang leka.Aku yang alpa. Aku yang buta.Aku yang mencipta derita kerana lari daripada-Nya.Sedangkan Dia terlalu hampir denganku. Terlalu menyayangiku.
Terlalu memanjaiku. Terlalu pemaaf hingga hampir menidakkan kemarahan-Nya. Seketika, tergambar keadaanku ketika baru pulang dari luar negara. Aku melihat diriku sedang berusaha mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelulusanku. Banyak sudah borang permohonan yang telah kuisi. Sesi temuduga juga sudah kuhadiri beberapa kali. Tetapi semuanya memberikan jawapan yang menghampakan. Aku hampir putus asa.
Gambaran itu terhenti. Kabur dek linangan yang mengalir deras. Air mataku mencurah-curah minta disapu dengan kertas tisu. Aku selongkar beg silangku, aku keluarkan sehelai kertas tisu dengan harapan ia bisa membersihkan wajahku daripada air mata.
Sempat kuberdoa dan berharap agar Allah membersihkan juga diriku daripada dosa dan nista. Setelah agak reda, aku kembali merenung. Aku renung jauh di sebalik hikmah kejadian. Rasaku hampir tidak kumiliki segala yang aku ingini. Setiap yang aku harapkan pasti mengecewakan.
Aku jadi pasrah. Terlalu pasrah ketika itu. Aku reda dalam terpaksa kerana aku kurang memahami hikmah. Tetapi Allah tidak meninggalkan aku sendiri. Dia tidak memaksaku menerima dengan keterpaksaan.
Akhirnya diberi-Nya aku apa yang kuhajatkan. Hanya sedikit daripada-Nya, sekadar ingin memujuk agar aku tidak benar-benar kecewa.Keinginanku yang amat sangat untuk bekerja di sebuah masjid dikabulkan-Nya.
Entah kenapa hatiku terpaut pertama kali aku melangkah ke masjid baru itu. Sejak itu aku berdoa siang dan malam agar aku diterima bekerja di masjid itu. Aku yakin Allah pasti tidak menghampakan.
Aku diterima bekerja di situ bukan sebagai staf tetap tetapi hanya staf kontrak. Kontrak yang aku terima selama enam bulan itu sedikit sebanyak mengubati kehampaanku.
Baru tiga bulan aku di sana, aku ditawarkan pekerjaan di tempat lain. Hatiku teragak-agak kerana aku sayangkan pekerjaanku, aku juga sayangkan masjid tempat kerjaku. Degil sungguh aku. Aku mahu Allah menurut kehendakku.'Rabbana Dzolamna anfusana wa in lam taghfirlana lanakuu nanna minaz dzolimin.'
'Yang bermaksud: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampunkan kami, sesungguhnya kami benar-benar tergolong di kalangan orang-orang yang zalim.'
Tawaran pekerjaan itu aku biarkan saja. Aku masih mahu keinginanku dipenuhi. Nasibku baik, tamat sahaja tempoh kontrak, aku ditawarkan bekerja tetap di situ. Apa lagi, pucuk dicita ulam mendatang, pastinya aku terima. Dalam tempoh kurang dua tahun aku berkhidmat di situ, aku mula jemu kerana aku mula sedar pekerjaan ini tidak sesuai dengan jiwaku.
Jawatan sebagai Eksekutif Dakwah di masjid membuatkan otakku dipaksa memerah setiap idea yang ideal untuk program-program dakwah di masjid tempat aku bertugas. Tugasku lebih kepada merancang program. Tugasku ini tidaklah sepenat jika dibandingkan tugas guru sepenuh masa.
Belum ditambah lagi dengan undangan memberi ceramah. Tugas aku kini hanya membuat aku sibuk apabila ada acara atau program-program masjid dan selebihnya aku bekerja mengikut waktu pejabat. Tetapi hatiku kosong, seolah-olah nuraniku tidak terisi. Sayang sungguh tawaran mengajar di madrasah dulu aku tolak. Aku sedih. Aku menangis. Terasa diri ini benar-benar menzalimi diri sendiri. Bukan salah takdir tapi keengganan aku sendiri kerana tanpa sedar aku menafikan ketetapan-Nya. 'Ya Allah, ampuni hamba-Mu ini!,' rayu sedarku.
Fikiranku mundur setapak lagi; ke zaman kuliahku. Aku telah diterima masuk oleh pihak universiti tetapi dalam fakulti yang paling aku benci. Satu bidang yang tidak pernah terlintas dalam benakku untuk kuselongkari ilmu-ilmunya. Aku rasa amat penat membaca pembahasan mengenai perbezaan mazhab yang tidak ingin aku tahu kecuali yang paling kuat dalilnya.
Tetapi takdir-Nya sudah begitu, dengan berat hati aku teruskan juga pembelajaranku. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa terpaksanya aku membaca lembaran demi lembaran buku yang memuatkan berbagai hukum yang dibahaskan. Setiap kali aku gagahi diri untuk cuba memahami, setiap kali itu jugalah aku tajdid niatku.
Aku baharui niatku bahawa segala yang aku lakukan ini hanya kerana Allah. Kupujuk hati agar reda dengan ilmu yang sudah diperuntukkan untukku menyelami isi kandungannya dan benar-benar memahaminya.Tangisanku semakin keras. Aku tersedar ia mengganggu jemaah berdekatan denganku. Seorang pakcik yang baru sahaja me nyelesaikan solatnya menoleh ke arahku. Aku faham, solatnya tadi sedikit terganggu. Dengan tertahan-tahan aku memujuk hatiku sendiri. Sudahlah, jangan menangis lagi. Bukankah Allah Maha Pengasih? Bukankah Allah Maha Pengampun?
Dulu, sering aku rasakan segala yang aku inginkan tidak diperkenankan. Dulu, sering aku rasakan bahawa Allah tidak menyayangiku kerana fikirku keinginanku sering dihampakan.Dulu, sering aku rasakan bahawa bukti cinta Allah ialah dengan menyampaikan semua yang kita hajatkan.
Dulu, sering aku rasakan ilmu kuliahku hanya memeningkan kepala dan menyerabutkan fikiran. Tetapi kini aku sedar, dengan memahami perbezaan di situlah datangnya kesatuan. Bila kita benar-benar memahami kekhilafan, dari situ baru kita lihat maslahah dan hikmah kejadian. Dengan ilmu itulah akan aku sampaikan kepada anak didikku kepada setiap individu masyarakatku.
Sungguh Allah Maha Bijaksana. Sungguh tepat aturan yang telah ditetapkan.Kini, aku selalu merasakan bahawa Allah benar-benar Maha Pengasih kerana aku benar-benar telah merasakan kasih sayang-Nya. Sudah kulihat bukti-bukti cinta-Nya. Semuanya berada di sekelilingku. Bermula dari diriku sendiri.Pernah berkata seorang ahli Sufi: 'Barangsiapa mengenali dirinya nescaya dia mengenali Tuhannya. Dan pada bumi ini ada banyak tanda-tanda (mengenai adanya Allah dan kebesaran-Nya) bagi orang-orang yang mahu percaya dan begitu juga (tanda-tanda itu banyak boleh didapati) di dalam diri kamu sendiri. Tidakkah kamu melihat?'. - (Az-Zariyat: 20).
Lambaian itu menggamit
Aku melangkah cukup perlahan
Lambaian itu menggamit
Aku tunduk penuh kehambaan
Lambaian itu menggamit
Aku bangkit dengan keyakinan
Lambaian itu menggamit
Rindu hakikat sebuah penciptaan
Lambaian itu menggamit
Saduran sejarah kasih dan sayang
Lambaian itu menggamit
Bukti setia sebuah keikhlasan
Lambaian itu menggamit
Keluh-kesah sepotret keakuan
Lambaian itu menggamit
Rahmah maghfirah sebingkai keampunan
Lambaian itu menggamit
Perit derita membongkar rahsia
Lambaian itu menggamit
Cadar bahagia menutup nestapa
Lambaian itu menggamit
Kasihku, kasih-Mu bertemu jalannya
Lambaian itu menggamit
Rinduku, diriku
Rinduku, diri-Mu Tuhan
Terima kasih
Lestari gamitan hanya kerana-Mu.
Ekstra
Berita Harian
20 Feb 2007
ULASAN CERPEN
LIMR punyai idea baik dan menarik
By Peter Augustine Goh
By Peter Augustine Goh
Penulis Sambilan
SEBUAH cerpen dinilai baik dan berjaya apabila ia meninggalkan satu kesan tunggal atau utama.
Ia diperkukuhkan dengan teknik penceritaan yang menarik serta unsur gaya bahasa yang melibatkan penggunaan kata-kata atau ungkapan tepat.
'Lambaian Itu Menggamit Rinduku' (LIMR) karya Zuwainah Mohamed Kamalutheen adalah sebuah cerpen yang mempunyai idea baik lagi menarik.
Ia baik kerana bertemakan agama yang bertujuan memberikan semacam keinsafan dan kesedaran kita sebagai insan yang tidak terlepas daripada membuat kesilapan dan bergelumang dengan dosa.
Menarik kerana ia berlatarkan Tanah Suci Makkah ketika jemaah dari seluruh dunia menunaikan haji.
Tetapi idea yang baik dan menarik itu tidak memenuhi unsur penulisan cerpen yang benar-benar berjaya dari segi kesan tunggal dan penggunaan kata-kata yang tepat lantas menjejaskan kelancaran cerpen Zuwainah.
Apabila pembaca diperkenalkan kepada Zuwainah menerusi watak 'Aku' dengan watak seorang nenek tua bertongkat tiga ketika bersolat sunat tawaf di Makam Ibrahim, pembaca terfikir bahawa tentu ada sesuatu yang dramatik yang akan berlaku antara orang tua itu dengan 'Aku'.
Ini disebabkan cara Zuwainah memulakan cerpennya sudah menimbulkan saspens dan tanda tanya akan siapakah orang yang begitu mengambil perhatian 'Aku'.
Pembaca tersasar kerana watak nenek tua itu rupa-rupanya merupakan satu adegan yang tidak ada kaitan dengan 'Aku' seterusnya. Ia seperti awan yang berarak lalu kemudian hilang dan dilupakan begitu sahaja. Ia meninggalkan satu kesan lain yang tidak terjawab.
Apa yang memburukkan lagi, watak nenek tua itu masih tebal dalam ingatan dan membuat pembaca masih tertanya-tanya ke mana menghilangnya orang tua itu dan mengapa watak itu dipadamkan begitu sahaja, walhal dia dijangkakan mempersembahkan satu lanjutan yang dinanti-nantikan.
Seyogia diingatkan bahawa ketidaktepatan dalam penggunaan kata-kata atau ungkapan boleh menyebabkan keleliruan dan tidak kurang melonggarkan jalan cerita. Dan sudah tentulah ia tidak akan meninggalkan kesan yang meyakinkan kepada pembaca.
Saya petik ayat: 'Hatiku syahdu.'
Perkataan 'syahdu' membawa erti mulia, elok, cantik ataupun manis. Saya rasa lebih tepat dalam keadaan watak 'Aku' merenung nenek tua, hatinya 'sayu' atau 'terusik', bukan 'syahdu'. Kalau Zuwainah ingin melukiskan malam atau suasana, maka 'syahdu' akan lebih tepat.
Begitu juga dengan perkataan 'berlegar-legar' dalam ayat, saya turunkan: 'Mataku berlegar-legar mencari sudut untuk kutunaikan solat sunat tawaf.'
'Berlegar-legar' membawa erti bergerak berkeliling, atau berpusing-pusing selalu. Adalah tepat jika ditulis Zuwainah begini: 'Mataku liar mencari-cari tempat untuk kutunaikan solat sunat tawaf.'
Zuwainah yang banyak merintih dan merayu menerusi watak 'Aku' dilihat banyak mengulang luahan rasa dalam penceritaannya. Spontan, ia membazirkan kata-kata lalu menjadikan luahan atau pernyataannya itu tidak kuat dan hilang nilai estetika nya.
Ikuti petikan ini: 'Aku merayu lagi. Minta diampuni, minta dikasihi. Aku yakin sekali Allah Maha Pemberi. Pasti Dia tidak menghampakan. Aku merayu lagi. Minta dimaafi, minta ditunjuki. Aku yakin sekali Allah Maha Pengasih. Pasti Dia tidak akan meninggalkanku sendiri. Aku merayu lagi. Minta ditenangkan, minta dirahmati. Aku yakin sekali Allah Maha Pemurah. Pasti kasih sayang-Nya mencurah-curah.'
Perkataan-perkataan 'merayu', 'diampuni', 'dimaafi', 'yakin', 'minta' kerap diulang-ulang. Tidak dinafikan pengulangan kata-kata boleh berfungsi sebagai penekanan dan melahirkan keberkesanan dan keindahan tetapi bukan cara begini yang sebenarnya membawa maksud yang sama dan boleh diperkemaskan dengan begini, saya sarankan:
Seperkara yang harus diambil perhatian ialah watak 'Aku' digambarkan sedang bertafakur di Rumah Allah. 'Tafakur' membawa erti memikirkan sesuatu dengan sungguh-sungguh dan di sini sudah tentulah tiada lain selain hal agama yang berkaitan dengan kebesaran Tuhan.
Tetapi pembaca dibawa Zuwainah ke masa-masa lalu dalam bentuk imbas balik, di mana 'Aku' teringatkan kegagalannya mencari pekerjaan yang sesuai dengannya sekembalinya dari melanjutkan pelajarannya di luar negara dan adegan-adegan susulannya yang menyebabkan 'Aku' berasa berdosa dan bersalah kerana tidak menyedari akan hikmah di sebalik kegagalan pada peringkat awal dalam usaha mencari pekerjaan yang sesuai dengan jiwanya.
Oleh kerana ketidaktepatan erti 'bertafakur' dan ketersasaran maksud kepada fikiran pembaca, maka cerpen LIMR ini meninggalkan kesan yang tidak meyakinkan.
Zuwainah boleh mengatasi perkara ini dengan menggunakan teknik berepisod, iaitu pada episod awal, lukiskan adegan pertemuan watak 'Aku' atau nenek tua dalam masjid.
Ceritakan bagaimana pengalaman yang pernah dilalui orang tua itu pada masa muda-mudanya dahulu meninggalkan kesan di jiwa 'Aku'.
Kemudian dalam episod seterusnya, gunakan teknik imbas balik, membawa pembaca ke masa-masa lalu 'Aku' mencari pekerjaan yang sesuai dan adegan di mana 'Aku' terpaksa mengambil jurusan pelajaran yang tidak disenanginya dahulu.
Saya rasa dengan cara ini, lambaian yang menggamit rindu 'Aku' untuk menunaikan haji dalam membersihkan jiwanya akan lebih berkesan dan meyakinkan.



